Thursday 18 February 2016

Perfect Pavlova

Dulu pernah kongsi resepi pavlova kat sini. Tapi bila buat #throwback, masyaAllah rasa nak delete je blog. Nampak bebeno pavlova nye tak jadi..melepek je.. *sorok muka bawah laptop*.


Berbalik pada tajuk post. Tajuk tu perfect pavlova bukan sebab pavlovanya perfect sangat tapi teringat beberapa tahun lalu pernah dijemput mengajar membuat pavlova di Kolej Pendeta Zaaba UKM dan program tu dinamakan perfect pavlova.

Masa tu memang terjojol bijik mata tengok. Ye la kita pun ikut pengalaman sendiri je buat. Entahkan jadi entah tidak tiba-tiba dibaginya nama perfect pavlova untuk program tu!


Jadi, untuk mengenangkan pavlova yang konon-konon perfect tu saya kongsikan resepinya di sini. 

Perfect Pavlova

Alat-alat yang diperlukan:

Parchment paper (tak boleh guna kertas lain seperti aluminium foil etc melainkan alas silikon sahaja dibenarkan)
Mangkuk pengadun
Mixer
Spatula
Piping Bag
Cutter berbentuk bulat berdiameter 4inci

Bahan untuk pavlova:

4 biji putih telur / 167-170g
1 cawan gula kastor / 194 g
2 sudu besar tepung jagung / 13g
2 sudu kecil cuka / 8ml

Bahan untuk krim:

1 cawan dairy whipping cream (suka jenama Shani lebih berkrimmm~)
1 sudu kecil esen vanila
1 sudu kecil gula aising

Bahan hiasan (boleh ditukar mengikut selera masing-masing):

Buah strawberry
Buah kiwi
Coklat ganache

Cara-cara membuat pavlova:

1. Panaskan oven pada suhu 150 C. Kalau nak senang guna convection oven (oven yang berkipas). Tapi saya guna oven gas berjaya pun menjadi. 
2. Pastikan semua alat-alat bersih, tidak basah dan bebas minyak (kalau terdapat kesan minyak atau air lagi sila lap). Untuk mendapat putih telur pun pastikan telur dan tangan kering.
3. Mulakan dengan memukul telur menggunakan mixer dalam mangkuk pengadun. Gunakan kelajuan yang sederhana dahulu (takut putih telur terpercik-percik). Bila dah mula berbuih boleh lajukan mixer. Masukkan gula sedikit demi sedikit sambil pukul dan pukul sehingga stiff peak forms dan apabila mangkuk diterbalikkan putih telur tak jatuh.
4. Masukkan tepung jagung dan kaup balik menggunakan spatula. Disambung dengan cuka. Pastikan bahan semua digaul sebati dan mesra.
5. Sediakan parchment paper di atas loyang. Menggunakan teknik capan (haaa bukak balik buku pendidikan seni darjah satu dulu), terapkan sedikit cutter ke atas putih telur dan capkan atas parchment paper tadi. Menggunakan teknik ni, anda tak perlu susah-susah lukis bulat satu-satu guna pensil. (Teknik ni juga boleh digunakan untuk membuat macaroon)
6. Setelah selesai mengacap (betul ke perkataan ni?), masukkan baki adunan ke dalam piping bag dan pipe adunan ke atas bentuk-bentuk bulat tadi.
7. Masukkan ke dalam oven. Setelah 10 minit, turunkan suhu kepada 110 C. Teruskan membakar lagi 20 minit sehingga pavlova nampak kembang, kering dan rangup. Tutup oven dan biarkan pavlova menyejuk di dalam oven.
8. Langkah yang ke-7 ni sangat teknikal di mana oven tidak semuanya sama. Kalau boleh cuba dahulu satu biji. Kalau jadi baru bakar yang lain. Yang penting, jangan buka oven selagi pavlova tak sejuk.

Cara-cara membuat krim:

Campurkan semua bahan, pukul sehingga kental. Kalau dah nampak kental jangan teruskan pukul nanti krim pecah.

Hiaskan mengikut cita rasa anda.

Selamat mencuba! Kalau nak buat sikit, boleh guna sebiji sahaja putih telur dan bahan lain bahagi empat.